Projek diusahakan petani di Kampung Tok Dukang dapat bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang Kelantan


KOTA BHARU: Tanaman cili secara fertigasi yang dilaksanakan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan kini mampu membantu pesertanya memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Kejayaan itu dibuktikan dua petani yang dipilih LPP menjayakan projek di Kampung Tok Dukang dekat Banggol di sini, sejak awal tahun ini, menerusi pembiayaan Program Pengeluaran Bahan Makanan.

Pengarah LPP Kelantan, Samsuddin Abd Rani, berkata tanaman cili fertigasi tidak memerlukan kawasan luas kerana membabitkan penyusunan polibeg pokok cili di bawah rumah lindungan.

Katanya, kawasan tanah seluas 0.4 hektar mampu menempatkan 3,000 pokok cili yang ditanam dalam polibeg berisi habuk sabut kelapa di samping pembajaan secara salur paip.

“Setiap pokok cili yang ditanam menerusi kaedah ini mampu mengeluarkan hasil sehingga tiga kilogram sepanjang tempoh hayatnya antara tujuh hingga lapan bulan.

“Setakat ini, tanaman cili fertigasi di Kampung Tok Dukang yang dijalan dua peserta dengan 6,000 pokok sejak awal tahun ini, mengeluarkan hasil 3.3 tan cili bernilai lebih RM12,000 ketika pertama kali dituai pada pertengahan Mac lalu,” katanya.

Samsuddin berkata, LPP menjangkakan kawasan cili terbabit mampu mengeluarkan kira-kira 18 tan cili bernilai lebih RM43,000 sepanjang musim tanaman tahun ini.

Katanya, tanaman cili fertigasi di Tok Dukang membabitkan pembinaan 21 rumah lindungan yang setiap satu berkeluasan 3,200 kaki persegi yang dibiayai LPP dengan peruntukan RM89,000.

“Kita sedang memperluaskan projek ini di Kampung Tanjong Dal dengan pembinaan dua rumah lindungan berkeluasan 4,000 kaki persegi setiap satu, atas tanah 0.2 hektar untuk seorang peserta dengan 1,000 pokok cili akan ditanam awal bulan depan.

“LPP mensasarkan pengwujudan 1,050 peladang dan usahawan industri kecil sederhana di bawah Program Pembangunan Usahawan Peladang sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Kelantan,” katanya.

Peserta, Mohd Ariffin Mohd Zain, 57, berkata berdasarkan hasil yang diperoleh setakat ini, beliau berpuas hati dengan hasil tanaman cili yang diusahakannya.

Beliau yang sebelum ini menternak ikan dalam kolam selama 10 tahun, berkata sistem tanaman yang diperkenalkan itu memudahkan pengawasan setiap hari di samping keadaan kawasan yang bersih dan kemas.

“Saya bernasib baik kerana memiliki sijil peladang jaya hasil pelbagai kursus yang disertai sebelum ini serta lulus temu duga memilih peserta yang dijalankan oleh LPP.

“Selain cili, saya juga menternak lembu dan kini sedang dalam usaha untuk menyertai usaha menternak lintah pula,” katanya yang dibantu isteri dan tiga anaknya mengendalikan tanaman itu setiap hari.

Rakannya, Salleh Daud, 62, yang juga bekas tentera, berkata setakat ini hasil cili mereka dipasarkan terus menerusi pemborong pada harga RM4 sekilogram.

Beliau yang sebelum ini pernah menyara hidup keluarga secara bekerja sebagai pengawal keselamatan, berkata tanaman cili itu memberi sinar baru dalam kehidupan keluarganya.

“Kini saya sentiasa dapat bersama isteri dan empat anak-anak yang membantu mengusahakan tanaman cili ini yang terbukti mampu memberi pulangan yang lumayan,” katanya.

FAKTA NOMBOR:
Projek Fertigasi Kampung Tok Dukang

  • 3,000 – Pokok cili dalam 0.4 hektar
  • 3 kilogram – Hasil setiap pokok cili
  • 2 bulan – Usia keluarkan hasil.
  • RM4 – Harga borong cili sekilogram
  • RM12,000 – Hasil tuaian pertama cili diusahakan dua petani di Kampung Tok dukang
    RM89,000 – Pembiayaan LPP bagi pembinaan 21 rumah perlindungan.
  • About these ads