KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Annas Khatib Jaafar menyaman Pengerusi LKIM, Adam Abdul Hamid, berhubung kenyataan Adam melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang didakwa memfitnahnya.

Annas yang bersara 22 April lalu, memfailkan saman itu melalui firma guaman Dasuki & Co di Pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Beliau mendakwa surat yang mempunyai unsur fitnah itu bertajuk ‘Penyelewengan dan Salah Guna Kuasa Rundingan Terus 1/2006, Membina dan Menyiapkan Jalan Masuk Ke Kompleks LKIM (Baru) Kuala Kedah’.

Ia didakwa dihantar kepada bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dan beberapa pihak lain termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Annas mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Adam melalui surat bertarikh 6 Februari lalu membawa maksud yang beliau menyalahgunakan dana bagi pembinaan kompleks baru LKIM bernilai RM55 juta di Kuala Kedah, Kedah.

Beliau berkata, kenyataan itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan dana itu dengan memberikan projek berkenaan kepada syarikat Pembinaan Zakaria Salleh Sdn Bhd melalui rundingan terus.

Katanya, dakwaan defendan itu juga bermaksud kos pembinaannya adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah, prosedur biasa mendapatkan tender tidak dipatuhi dan beliau tidak menggunakan wang kerajaan secara jujur dan ekonomik.

Annas mendakwa kenyataan itu secara tidak langsung bermaksud beliau mengamalkan rasuah dengan menawarkan projek itu kepada syarikat Pembinaan Zakaria Salleh.

Beliau mendakwa penulisan, pencetakan dan penerbitan surat itu juga satu serangan dan kempen bertujuan berniat jahat semata-mata untuk menghalang beliau daripada meneruskan tugasnya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplo-matik.

Dakwanya, defendan (Adam) memang mengetahui segala tuduhan itu adalah tidak benar kerana projek berkenaan dilaksanakan pada 2002, lama sebelum pelantikannya sebagai ketua pengarah. Beliau dilantik ke jawatan itu pada 27 Oktober 2004.

Selain memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, plaintif juga memohon injunksi menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasinya pada masa depan.

Sementara itu dalam satu kenyataan kepada media, Annas berharap saman itu tidak disalahertikan oleh pelbagai pihak dan menjelaskan tindakannya hanya bertujuan membersihkan namanya.

//Berita Harian 9 Mei 2007