EKSPORT Malaysia meningkat kukuh sebanyak 19.4 peratus kepada RM49.08 bilion pada Mac 2007 berbanding RM41.10 bilion pada bulan sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Sektor produk utama yang menyumbang kepada kenaikan itu ialah keluaran petroleum ditapis, jentera, perkakasan dan peralatan, kimia dan bahan kimia serta barang elektrik dan elektronik.

Import pada Mac 2007 meningkat 24 peratus kepada RM42.35 bilion daripada RM34.17 bilion pada bulan sebelumnya berikutan peningkatan ketara import bagi barang pengantara dan barang modal.

Menurut Miti, lebihan dagangan sebanyak RM6.73 bilion dicatatkan pada Mac 2007, menjadikannya lebihan dagangan ke-113 bulan berturut-turut sejak November 1997.

“Jumlah perdagangan pada bulan berkenaan bernilai RM91.43 bilion,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, semalam.

Eksport Mac 2007 turun 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala import meningkat 1.6 peratus, kata Miti, sambil menambah penurunan dalam eksport itu disebabkan terutama oleh eksport lebih rendah bagi barang elektrik dan elektronik dan petroleum mentah.

Eksport naik 1.1 peratus kepada RM138.22 bilion daripada suku pertama 2006, manakala import berkembang 5.4 peratus kepada RM116.95 bilion.

Lebihan dagangan yang dicatatkan pada suku pertama 2007 ialah RM21.26 bilion.

Pada Mac 2007, Asean, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Jepun, China, Hong Kong dan Korea Selatan bersama-sama menyumbang 81 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, kata Miti.

Asean menyerap RM12.7 bilion atau 25.9 peratus daripada jumlah eksport Malaysia berbanding RM10.81 bilion pada Februari 2007, hasil peningkatan eksport keluaran petroleum ditapis dan barang elektrik dan elektronik.

Bagi Mac 2007, tiga kategori utama import mengikut barangan penggunaan akhir ialah barang pengantara yang membentuk RM30.71 bilion atau 72.5 peratus daripada jumlah import, barang modal (RM5.06 bilion atau 11.9 peratus) dan barang penggunaan (RM2.47 bilion atau 5.8 peratus), kata kementerian itu.

Barang import utama ialah produk elektrik dan elektronik yang membentuk RM17.62 bilion atau 41.6 peratus daripada jumlah import, kimia dan bahan kimia (RM3.29 bilion atau 7.8 peratus) dan jentera, perkakasan dan peralatan (RM3.12 bilion atau 7.4 peratus).

Sumber utama import ialah Asean sebanyak RM9.92 bilion atau 23.4 peratus daripada jumlah import, Jepun (RM5.54 bilion atau 13.1 peratus), Kesatuan Eropah (RM5.30 bilion atau 12.5 peratus), Amerika Syarikat (RM4.81 bilion atau 11.4 peratus) dan China (RM4.66 bilion atau 11 peratus). – Bernama