JPN, LHDN beri senarai

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 pegawai pelbagai jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesan belum membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana beranggapan mereka boleh mengelak dikenakan tindakan.

Senarai nama peminjam ingkar itu diperoleh PTPTN hasil maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan majikan masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat (gambar), berkata sehingga 15 April lalu 40,573 peminjam PTPTN didapati sudah mendapat pekerjaan di pelbagai jabatan kerajaan dan GLC.

Daripada jumlah itu, 30,027 sudah membuat pembayaran dan 359 peminjam diberi pengecualian kerana memperoleh Ijazah Kelas Pertama yang melayakkan pinjaman itu ditukarkan kepada biasiswa.

Ong menegaskan peminjam ingkar akan dikenakan tindakan keras kerana mereka sudah diberi masa yang cukup untuk berhubung dengan PTPTN dan membuat pembayaran balik pinjaman.

“Penahanan pasport adalah tindakan terakhir yang akan diambil selepas tiga kali surat peringatan, surat tuntutan bayaran balik, tindakan mahkamah dan disenarai hitam.

“Tindakan ini perlu kerana jumlah kutipan tabung itu masih tidak begitu baik,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Mengenai pengeluaran visa e-pelajar kepada warga asing, Ong berkata, kerajaan akan menubuhkan panel penilai khas membabitkan pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Imigresen dan polis.

Penubuhan panel itu bagi memastikan pelajar asing tidak mencari kerja, menghilangkan diri atau mempunyai kelayakan akademik yang sepatutnya untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan.

“Menerusi sistem manual sebelum ini, 212 IPTS boleh mengambil pelajar asing yang memohon terus visa di Jabatan Imigresen tetapi ini menyebabkan kemasukan pelajar yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang diperlukan.

“Lebih memburukkan apabila mereka yang tidak layak ini menyalahgunakan visa dengan bekerja di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, panel penilai e-pelajar itu akan bermesyuarat setiap minggu bagi menimbang permohonan visa pelajar asing untuk mengelakkan kelewatan proses pengeluaran dokumen perjalanan itu.

//Berita Harian 9 Mei 2007