KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu berikutan kejadian kerosakan lampu di landasan Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata kontraktor terbabit bertanggungjawab terhadap kerosakan kabel elektrik di landasan itu yang berlaku ketika kerja menaik taraf lapangan berkenaan.

“Berdasarkan laporan yang diterima, satu kesilapan berlaku ketika kerja memindahkan kabel yang menghubungkan lampu landasan dan kontraktor terbabit bertanggungjawab terhadap masalah ini.

“JKR yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau kerja menaik taraf lapangan terbang ini diminta mengambil tindakan terhadap kontraktor berkenaan,” katanya pada sidang media mengenai pementasan drama berjudul Perjuangan di Wisma MCA sempena Kemerdekaan negara ke-50 di sini, semalam.

Kerja pembaikan yang bermula kelmarin, membolehkan LTSM beroperasi sepenuhnya pada hari sama.

Chan berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terpaksa mengarahkan supaya operasi malam LTSM ditutup bermula Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan.

Mengenai pembukaan laluan udara menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, Chan berkata, ia masih pada peringkat perbincangan awal dan kerajaan perlu mengkajinya terlebih dulu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana kita perlu melihat perkara ini dengan teliti kerana banyak pihak berkepentingan terbabit dalam hal ini… operator penerbangan, operator lapangan dan kerajaan,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dari Malaysia dan Singapura mengadakan pertemuan di Singapura semalam untuk perbincangan awal berkenaan pembukaan laluan udara menghubungkan kedua-dua negara.

Pertemuan itu antara lain untuk berbincang mengenai cadangan mewujudkan dasar penerbangan lebih liberal antara Malaysia dan Singapura termasuk bagi membolehkan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd beroperasi di republik itu.

Ketika ini, hanya MAS mendapat hak ekslusif untuk membuat penerbangan ke republik itu, termasuk mengendalikan operasi bagi laluan Kuala Lumpur-Singapura yang menguntungkan.

Selain MAS, syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) turut mendapat hak eksklusif bagi laluan sama.