KOTA BHARU: Seorang anggota Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Majistret di sini, beliau melihat Datuk Nik Sapeia Nik Yusof menyembur sejenis gas pemedih mata ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memberi ucapan dalam satu kejadian di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, tahun lalu.

Lans Koperal Romzi Mat Nayan yang menjadi saksi ke-11 kes itu berkata, beliau turut merakamkan kejadian semburan itu melalui kamera digital mudah alih ketika beliau berada kira-kira tiga meter dari tempat kejadian.

“Selepas melihat semula rakaman kejadian, saya lihat satu tangan kanan bertindak menyembur gas itu dan ia adalah tangan Datuk Nik Sapeia,” katanya ketika memberikan keterangan di hadapan Majistret Azman Mustapha, semalam.

Nik Sapeia, 53, seorang tokoh perniagaan didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir, bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sudin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda, atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustapha.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab, Romzi berkata, beliau mengecam tertuduh melalui lengan baju berwarna putih dan memakai jam tangan keemasan.

Katanya, tertuduh dapat dikenali melalui rambutnya yang beruban, memakai kemeja putih dan berkaca mata.

“Saya cam itu tangan Datuk Nik Sapeia yang saya nampak lebih awal ketika dalam terminal. Datuk Nik Sapeia berada berhampiran sebuah kenderaan yang akan digunakan Tun Dr Mahathir untuk berucap,” katanya.

Beliau yang ditugaskan mengambil gambar dan membuat pemantauan keselamatan di lapangan terbang ketika itu, mengambil rakaman kejadian melalui kamera digital selama 35 minit.

Katanya selepas kejadian semburan itu, beliau melihat seorang lelaki cuba memberi amaran melalui pembesar suara tetapi ditepis oleh tangan tertuduh.

Sebelum kejadian itu, Romzi berkata beliau melihat Ibrahim meluru ke arah tertuduh dan berlaku pertengkaran ketika di dalam terminal.

“Selepas (insiden) semburan itu, saya lihat Datuk Ibrahim turut berjalan ke arah Datuk Nik Sapeia dalam keadaan marah tetapi saya tidak dapat mendengar perkataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua mereka disebabkan keadaan yang bising ketika itu,” katanya.

Romzi berkata beliau juga melihat asap, manakala orang ramai pula bertempiaran lari di luar terminal.

Pita rakaman itu kemudian ditunjukkannya kepada pegawai atasan di Bukit Aman sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Baharu, Asisten Superintendan Baharin Mohd Noor.

Mahkamah kemudian membenarkan pita rakaman itu ditayang semula untuk pengecaman saksi, esok.

Perbicaraan yang sepatutnya disambung hari ini, ditangguhkan esok kerana Zainal Abidin terpaksa menghadiri satu kes rayuan di Mahkamah Putrajaya.

//Berita Harian 9 Mei 2007