Ketua Pengarah anggap pegawai tak bayar hutang PTPTN perbuatan salah laku

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengambil tindakan tata tertib terhadap pegawai kerajaan yang dikesan gagal menjelaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam, berkata tindakan itu boleh diambil kerana sikap tidak bertanggungjawab dan mengingkari perintah juga dianggap sebagai perbuatan salah laku.

“Perbuatan salah laku itu bukan saja menjejaskan imej perkhidmatan awam, malah boleh mengganggu keberkesanan sistem penyampaian kerajaan. PTPTN perlu mengemukakan senarai nama pegawai terbabit bagi membolehkan JPA mengambil tindakan.

“Kita akan cari mereka sampai dapat. Kalau dah degil sangat, boleh kena tindakan tata tertib. Nasihat saya mudah saja, kalau dah berhutang tu, kena bayar la,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993, pegawai yang melakukan kesalahan tata tertib boleh dikenakan tindakan sama ada diberi surat amaran, denda, lucut hak gaji, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Keat, berkata kira-kira 10,000 pegawai pelbagai jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesan belum membayar balik pinjaman PTPTN kerana beranggapan mereka boleh mengelak dikenakan tindakan.

Senarai nama peminjam ingkar itu diperoleh menerusi maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan majikan masing-masing. Pegawai terbabit, termasuk guru, pensyarah, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) serta doktor.

Berdasarkan maklumat sehingga 15 April lalu, 40,573 peminjam PTPTN didapati sudah mendapat pekerjaan di pelbagai jabatan kerajaan dan GLC.

Daripada jumlah itu, 30,027 sudah membuat pembayaran dan 359 peminjam diberi pengecualian kerana memperoleh Ijazah Kelas Pertama yang melayakkan pinjaman itu ditukarkan kepada biasiswa.

Ismail berkata, pegawai terbabit sepatutnya menjelaskan pinjaman itu kerana bayaran balik berkenaan boleh dijadikan modal pusingan untuk generasi pelapis melanjutkan pengajian.

“Kesedaran dan tanggungjawab itu penting, malah tanpa pinjaman PTPTN tentunya mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran dan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata pihaknya sedia membantu mengesan kakitangan TNB yang gagal menjelaskan pinjaman PTPTN.

“Kita harap PTPTN dapat mengemukakan segera senarai peminjam ingkar supaya kita dapat menasihatkan mereka agar segera membuat bayaran,” katanya sambil menambah, TNB tidak boleh mengenakan tindakan atau potongan gaji kerana ia melanggar Akta Pekerjaan.

//Berita Harian 10 Mei 2007