KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra akan mengetuai konvoi promosi produk pelancongan negeri ini menerusi Jelajah Utara selama tiga, mulai hari ini.

Program dikenali sebagai Jelajah Utara 2007 – Kelate Sohor Serba Serbi itu akan membabitkan 166 peserta dengan menaiki 53 kenderaan, termasuk 15 motosikal berkuasa tinggi.

Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Kelantan (KTA) yang menganjurkan acara itu, Nik Aman Nik Mohamad, berkata matlamat utama acara itu untuk mempromosikan negeri ini kepada penduduk di Utara Semenanjung sempena Tahun Melawat Kelantan, tahun depan.

“Rombongan kami membabitkan 166 peserta yang menaiki 53 kenderaan diketuai Tengku Temenggong, termasuk 15 motosikal berkuasa tinggi, selain anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bagi memberi bantuan kecemasan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Nik Aman berkata, sepanjang jelajah itu, peserta konvoi akan mengagihkan risalah mengenai pelancongan dan produk kraf tangan di negeri ini.

“Setiap tahun, kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain bagi membantu memperkenalkan negeri ini sebagai tempat pelancongan seperti Jejak Pusaka, Pesta Nasi 100 dan kursus untuk perusahaan.

“Pesta Nasi 100 2007 akan diadakan pada 14 dan 15 Julai ini sempena Tahun Melawat Malaysia dengan pelancong berpeluang mendapat buku resipi, selain dapat merasa masakan negeri ini,” katanya.