LUMUT: Pakatan pembangkang bukan cabaran utama Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang tetapi bagi memastikan setiap wakil rakyatnya dapat memenuhi aspirasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada pemerintah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selain itu, cabaran paling besar BN adalah untuk mengekalkan dan mengulangi kemenangan besar diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, sehubungan itu, dua pendekatan yang akan diberi penekanan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang ialah melaksanakan dasar secara berkesan pada peringkat nasional dan tempatan.

“Dua aspek ini, penting dalam memastikan kerajaan BN terus berwibawa dan diterima rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyertai acara menembak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, semalam.

Acara menembak itu dianjurkan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) sempena program pemukiman BNBBC selama tiga hari di Pulau Pangkor bermula kelmarin.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ramlan Mohamad Ali.

Najib berkata, pada peringkat nasional, BN mesti terus menegak dan melaksanakan dasar yang dapat diyakini rakyat bahawa kerajaan mampu membangunkan negara bagi mengisi aspirasi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Katanya, pada peringkat tempatan pula berkaitan keyakinan serta tanggapan pengundi terhadap wakil rakyat BN di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kedua-dua dimensi ini amat penting dan saya menegaskan peranan ini kepada mereka (wakil rakyat BN) dalam pertemuan kali ini, kerana sokongan rakyat kepada kerajaan BN bergantung kepada tanggapan mereka terhadap prestasi wakil rakyat di kawasan mereka.

Najib berkata, pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil DUN Ijok, Selangor baru-baru ini tidak utuh dan gabungan mereka rapuh.