KLANG: Anak seorang Senator didakwa di mahkamah berasingan semalam berhubung lapan tuduhan bersubahat menggunakan dokumen yang dipalsukan dan dua tuduhan menipu lebih RM280,000 membabitkan permit import (AP) kereta mewah.

Di Mahkamah Seksyen di sini, Mohd Zullaimy Muhammad, 40, anak Senator Datuk Muhammad Abdul Ghani, didakwa atas lapan tuduhan bersubahat dengan seorang ejen penghantaran, Rusli Othman, 39, menggunakan borang AP yang dipalsukan bagi membawa masuk lapan kereta mewah pada 2005 dan tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Setempat Kenderaan Import Setempat KDRM, Pelabuhan Klang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 133 (1)(c) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 139 akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Mohd Zullaimy dari Medan Idaman, Gombak, yang sugul sepanjang prosiding itu mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu dan dibenarkan diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin.

Hakim Zunaidah Mohd Idris menetapkan perbicaraan lima hari bermula 21 Januari depan. Beliau juga memerintahkan Mohd Zullaimy menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Abdul Rahman Sebli, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi kerana setiap tuduhan membawa hukuman denda sehingga RM500,000.

Abdul Rahman juga memohon mahkamah menahan pasport antarabangsa Mohd Zullaimy untuk mengelak tertuduh melarikan diri.

Peguam tertuduh, Datuk Daud Daros yang diwakili Salim Bashir bagaimanapun merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana Mohd Zullaimy tidak lagi bekerja dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Mohd Zullaimy didakwa atas dua tuduhan menipu seorang peniaga kereta, Lau King Hui, 53, membabitkan AP bagi pembelian kereta mewah, tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda dan sebatan serta Seksyen 417 akta sama yang boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Zullaimy yang dibawa ke mahkamah pada jam 11.45 pagi dengan tangan bergari, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan itu.

Hakim Nurmala Salim menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 25 Februari tahun depan dan membenarkannya dijamin RM35,000 dengan dua penjamin. Pendakwaan turut dijalankan Abd Rahman.