Seorang senator hari ini meminta agar Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diberi lebih kuasa untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti negeri-negeri bagi mengelak kekeliruan dan percanggahan.

Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata ini perlu kerana sejak kebelakangan ini banyak kenyataan dikeluarkan oleh mufti negeri-negeri mengenai hukum Islam sehingga menimbulkan kekeliruan serta perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Sebagai contoh, baru-baru ini Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Kesebelas, pada persidangan Dewan Negara di sini.

Cadangan Syed Ali disokong Senator Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan bahawa mufti tidak harus sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan mengenai hukum Islam tanpa merujuk kepada Jakim atau Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

“Dulu ada seorang mufti yang mengeluarkan kenyataan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu merupakan satu perbuatan bidaah dan ini mengelirukan umat Islam terutama di Johor yang menyambutnya berbulan-bulan lamanya bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad,” katanya.

Senator Datuk Abdul Rashid Ngah, yang turut bersetuju dengan cadangan Syed Ali, berkata Majlis Fatwa Kebangsaan harus memandang berat terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti kerana adakalanya kenyataan itu dianggap oleh umat Islam sebagai fatwa.