KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia menerima penempatan lokasi paip minyak di Bachok jika Kerajaan Pusat mempunyai alasan kukuh dalam memilih lokasi itu.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri sedia bertolak ansur, jika projek bernilai RM24 bilion itu lebih baik dilaksanakan di Bachok.

“Sekiranya ada hujah dan bukti kukuh, Bachok perlu dipilih sebagai lokasi laluan paip minyak itu, kita akan terima. Saya tidak kisah, lagi pun projek itu masih dalam peringkat taklimat dan belum ditentukan bila dilaksanakan.

“Pada pandangan saya, lebih baik projek itu dilaksanakan di Tumpat bukannya Bachok. Namun, jika nak dibuat di Bachok, biarlah ada hujah yang kukuh mengenainya, baru kami terima,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu Kerajaan Pas Kelantan tidak bersetuju mengenai lokasi saluran paip minyak yang ditetapkan Kerajaan Pusat.

Isu lokasi saluran paip minyak itu timbul apabila Nik Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa, mahu Tumpat dipilih dan bukannya Bachok seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Nik Aziz berkata, beliau melihat Tumpat lebih baik sebagai lokasi projek itu berbanding Bachok, kerana turut mempunyai sistem pengangkutan kereta api.

Di samping itu katanya, kerajaan negeri juga ingin melihat projek mega berkenaan turut boleh sama dinikmati oleh masyarakat negara jiran, Thailand.

“Kerajaan negeri inginkan rakan di sempadan Thailand turut sama menumpang limpahan ekonomi yang dihasil dari bumi ini,” katanya.

Beliau berkata, jika projek berkenaan dilaksanakan di Tumpat, kerajaan negeri mahu meminta syarikat terbabit membuat tambakan pemecah ombak bagi mengatasi hakisan di Tumpat dan Kuala Besar.

“Dari segi fizikal, saya dapati laluan Jeli ke Bachok lebih jauh berbanding Jeli ke Tumpat,” katanya.