CYBERJAYA 13 Mei – Kerajaan sedang meneliti secara terperinci kos sebanyak RM22 juta yang diperlukan bagi memeriksa semua bangunan kerajaan di Putrajaya dan Cyberjaya sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH) dan kontraktor terbabit berhubung kos tersebut.

Beliau enggan menyatakan bilakah kerajaan akan membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

‘‘Setakat ini kami belum memutuskan tentang kos tersebut kerana ia masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak-pihak yang terbabit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad pula dilapor meminta Samy Vellu memberi peluang kepada jawatankuasa khas penyelenggaraan dipengerusikan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melaksanakan tanggungjawab sebelum mengemukakan keputusan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Abdul Aziz yang juga Pengerusi Cyberview berkata, sebaik keputusan mengenai perbincangan yang diadakan dengan pihak berkaitan diperoleh, semua kerja pemeriksaan dan cadangan baik pulih akan dimulakan.

Ditanya sama ada Putrajaya Holdings Sdn Bhd sebagai pemaju perlu menanggung kos kerosakan, Dr Wan Abdul Aziz enggan mengulas.

Sebelum ini, beberapa kes runtuhan siling dan kesan retakan dikesan pada dinding di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di Kuala Lumpur selain sambungan paip patah di Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini serta runtuhan kepingan dan kerangka keluli pengikat siling kaca lepa Dewan Serba Guna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya.