Malaysia mahu rundingan dua hala dengan Singapura disambung semula

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) mahu rundingan untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh antara Malaysia dan Singapura disambung semula.

“Ada beberapa isu politik… ia sensitif dan perlu diselesaikan. Saya sudah maklumkan Menteri Luar untuk memulakan rundingan,” katanya kepada The Straits Times dalam temubual yang disiarkan semalam.

Abdullah bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menetapkan sebarang tempoh bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Jika rundingan dibuat dengan ikhlas dan jika ia boleh diadakan dalam suasana penuh persefahaman, ia adalah baik bagi kedua-dua negara dan ia boleh diteruskan semula tanpa perlu menetapkan tempohnya,” katanya.

Dalam temubual yang disiarkan sebelum pertemuan tidak rasmi antara Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Langkawi bermula semalam, Abdullah berkata beliau percaya hubungan dua hala dengan Singapura telah bertambah baik.

“Ia boleh dilihat daripada segi hubungan ekonomi. Interaksi juga berjalan dengan amat baik,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Lee, Abdullah berkata, beliau akan berfikiran terbuka.

“Saya bersedia berbincang apa saja. Saya tidak meletakkan sebarang batasan pada mana-mana isu.”

Malaysia dan Singapura masih mempunyai beberapa isu yang belum diselesaikan dan menjadi duri dalam daging dalam hubungan dua hala, termasuk harga air mentah yang dijual ke republik itu, pembangunan tanah milik KTM Bhd di republik ini, penggunaan ruang udara Malaysia oleh tentera udara Singapura dan projek jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun.

Mengenai sama ada kerajaan Malaysia masih berminat dengan projek kereta api laju ke Singapura, Abdullah berpendapat idea itu baik.

“Tetapi ia perlu lulus dua ujian. Pertamanya, ialah projek PFI (inisiatif pembiayaan swasta) yang bermakna bantuan atau subsidi kerajaan adalah minimal. Kita akan bantu permudahkan projek, tetapi kita tidak akan biayainya,” katanya.

Kedua, kata Abdullah ialah impak projek itu terhadap sektor lain seperti lebuh raya dan lapangan terbang juga perlu dikaji.

Mengenai betapa pentingnya peranan Singapura dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, Abdullah berkata pelabur Singapura boleh mengambil bahagian dalam projek itu yang membabitkan kawasan seluas 2,200 kilometer persegi yang dibangunkan sebagai koridor pertumbuhan baru Malaysia di selatan Johor.

“Malah, pelaburan swasta adalah amat penting untuk kejayaannya. Jadi kita mengalu-alukan semua pelabur,” katanya.

Abdullah juga ditanya mengenai “percanggahan tanggapan antara gambaran baik yang diberikan oleh kerajaan” dengan keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barang, gaji tidak naik dan perpaduan antara kaum yang dikatakan semakin terjejas.

Beliau berkata: “Saya tahu golongan berpendapatan tetap, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar adalah golongan yang paling tersepit dengan keadaan itu. Kami sudah berbuat apa yang kami boleh buat untuk membantu mereka.

“Lagipun, terdapat 21 barangan yang dikawal harganya dalam senarai barangan perlu. Kami juga sedang mengkaji untuk menaikkan gaji kakitangan awam, tetapi walaupun begitu, kami perlu realistik dan lihat kemampuan kerajaan.”

Mengenai hubungan dan perpaduan antara kaum, beliau berkata: “Kami mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai isu ini yang telah membantu meredakan ketegangan dan membolehkan kami menyelesaikan masalah itu. Masalah hanya timbul apabila perbincangan dicemari oleh motif politik.”

Perdana Menteri juga ditanya sama ada akan diadakan pilihan raya mengejut dalam 12 bulan akan datang, yang dijawabnya: “Saya belum putuskan.”

Mengenai sama ada beliau merancang untuk menerajui kerajaan bagi satu penggal lagi selepas pilihan raya, Abdullah berkata, beliau masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.