KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan akan membina dua hospital daerah baru iaitu Bachok dan Kuala Krai, bagi menampung keperluan kemudahan kesihatan penduduk luar bandar di Kelantan.  

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, berkata perancangan itu adalah sebahagian usaha Kerajaan Pusat mengagihkan khidmat kesihatan di seluruh negara.

“Jumlah penduduk Kelantan semakin bertambah, termasuk di kawasan pedalaman, menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan turut meningkat.

“Berdasarkan keadaan ini adalah wajar kita memindahkan sebahagian kepakaran hospital ke kawasan pedalaman supaya penduduknya tidak perlu ke Kota Bharu untuk menerima rawatan.

“Berikutan itu, kita membina dua hospital baru di Kuala Krai dan Bachok,” katanya selepas melancarkan Kad KBMC-ICASH di Pusat Perubatan
Kota Bharu (KBMC) dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif KBMC, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar serta Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Mohd Kamil Hasan dan Dr Lila P Mohamed Meeran.

Kad yang diusahakan dengan kerjasama ICASH Global Sdn Bhd itu membolehkan ahlinya mendapat manfaat daripada perkhidmatan dan barangan di KBMC dan peniaga yang mengambil bahagian.

Dr Abdul Latif berkata, Hospital Daerah Kuala Krai (HDKK) akan dialih daripada lokasi sedia ada untuk diperbesarkan dengan menyediakan sembilan kepakaran dan bilangan katil ditambah kepada 150.

Katanya, Bachok pula bakal memiliki hospital daerah tanpa pakar dengan kemudahan 80 katil