Beban kos sara hidup fokus utama Belanjawan 2008
KUALA LUMPUR: Bajet 2008 akan memberi fokus kepada menjaga kepentingan rakyat yang ‘makan gaji’ serta memastikan golongan itu tidak dibebani oleh kenaikan harga barang.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar), berkata kerajaan akan memastikan usaha mengekang kenaikan harga barangan diberi keutamaan dalam bajet berkenaan.

“Golongan yang makan gaji kita akan beri fokus. Memang kita setuju 100 peratus memberi fokus kepada golongan itu. Kita akan ambil tindakan untuk memastikan mereka tidak terjejas.

“Penting untuk mereka diberi peluang terus menikmati harga barangan yang tidak membebankan,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Musa Sheikh Fadzir yang mahu tahu bagaimana kerajaan dapat membantu mengelak kesan kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat.

Nor Mohamed menjelaskan, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan golongan itu termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih selesa, murah dan cekap.

“Dari aspek pendidikan, kerajaan akan memastikan rakyat diberi peluang tanpa mengira kaum untuk menimba ilmu dengan mudah tanpa adanya kekangan pembiayaan.

“Kerajaan akan turut memberi penekanan terhadap isu kemiskinan tegar serta memperhebatkan usaha membantu merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.

Beliau juga berkata, Malaysia sedang berbincang dengan agensi penarafan antarabangsa seperti Moodys serta Standard and Poor, supaya menilai semula penarafan mereka terhadap ekonomi negara ini.

“Negara kini diberi penarafan A- (A minus) sedangkan tarafnya sepatutnya lebih baik. Kita sedang berbincang dengan mereka kerana negara kita sepatutnya mendapat penarafan A+ (A plus),” katanya.

Nor Mohamed berkata, asas ekonomi Malaysia kini kukuh dengan mempunyai rizab AS$92 bilion (RM314.6 bilion), manakala akaun

perdagangan mencatat lebihan selama 111 bulan berturut-turut dan kadar inflasi pada Mac hanya 1.5 peratus.

Beliau memberitahu Dewan Negara, Malaysia sudah memperkukuhkan sistem perbankan dan korporat, mempelbagaikan ekonomi dan eksport serta tidak bergantung kepada sumber luar negara.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak melihat bagaimana krisis ekonomi 1997/98 boleh berulang.

Mengenai isu pengambilalihan Maxis Communications Bhd (Maxis) sepenuhnya oleh tokoh korporat terkenal, T Ananda Krishnan, Nor Mohamed berkata, ia tidak menjejaskan pasaran modal negara kerana Maxis hanya mewakili kira-kira tiga peratus pasaran berkenaan.

“Maxis hanya untuk distruktur dan bukan disenaraikan di tempat lain. Itulah yang mereka janjikan dan kita berpegang kepada janji itu,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Omar Faudzar.

Pada 3 Mei lalu, Ananda Krishnan melalui syarikat miliknya dan syarikat bersekutu mengumumkan tawaran pembelian saham Maxis bernilai RM39.9 bilion dalam satu urus niaga korporat yang menjadi antara pembelian terbesar di rantau Asia Pasifik.

Kepada soalan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir, Nor Mohamed bersetuju perlunya kementerian atau agensi kerajaan melihat semula isu seperti Maxis itu pada masa depan.

“Kementerian berkaitan misalnya boleh meletakkan syarat tertentu dalam pemberian lesen atau hak, termasuk dalam kes penswastaan,” katanya.

Menjawab soalan Senator Osman Bungsu mengenai asas penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau berkata penilaian dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd atau Permodalan Nasional Bhd dan Kementerian Kewangan.

Katanya, penilaian bukan saja membabitkan prestasi ekonomi dan kewangan semata-mata, malah meliputi aspek sosial. GLC kini banyak mengambil sekolah angkat dengan membekalkan pelbagai peralatan seperti komputer sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya.

Nor Mohamed juga bersetuju dengan saranan supaya pegawai kanan GLC menggunakan kereta nasional Proton. “Menteri pun pakai Proton… ini nasihat dan juga arahan,” katanya.