KUALA LUMPUR: Harga barang makanan berasaskan tepung seperti roti, biskut, kuih dan mi dijangka naik berikutan peningkatan kos bahan mentah terutama tepung gandum yang naik 15 sen mulai kelmarin.

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana, Chua Tiam Wee, berkata bagaimanapun sebarang kenaikan harga barang makanan berasaskan tepung bergantung kepada jenis produk dan kandungan tepung yang digunakan.

“Kenaikan harga tepung itu menjejaskan margin keuntungan pengusaha produk makanan terutama dalam sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang banyak menggunakan tepung gandum serba guna. Oleh itu, mereka (pengusaha) tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga makanan.

“Mereka juga perlu menampung pelbagai kos pengeluaran lain yang meningkat sebelum ini. Justeru, pengguna perlu bersedia menerima kenaikan harga barang makanan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu Bernama melaporkan Fomca menyatakan kebimbangan kemungkinan pengeluar dan peniaga makanan akan menaikkan harga makanan berikutan kenaikan harga tepung gandum.

Penasihatnya, Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, berkata walaupun peniaga tidak menaikkan harga makanan, kemungkinan peniaga atau pengeluar makanan akan cuba mengelirukan pengguna melalui cara lain.

“Pembuat karipap umpamanya mungkin akan mengurangkan saiz karipap seperti yang pernah berlaku terhadap roti canai apabila harganya kekal, tetapi saiznya dikecilkan,” katanya.

Jurucakap Silver Bird Group Bhd, pengeluar roti jenama High 5, berkata syarikat itu tidak terjejas dengan kenaikan harga tepung gandum serba guna kerana tidak menggunakan tepung jenis itu untuk produk keluarannya.

“Syarikat tidak menggunakan tepung berkenaan untuk membuat roti dan kek, tetapi tetap mengalami kesan peningkatan kos pengeluaran berikutan kenaikan harga tepung berprotein sehingga 15 peratus sejak empat bulan lalu.

“Justeru, sebagai syarikat pengeluar produk makanan yang menggunakan tepung sebagai bahan asas utamanya, kami turut memohon keprihatinan kerajaan untuk memantau kenaikan harga tepung itu yang tidak dikawal,” katanya.