Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) mencabar Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya membenarkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat beliau dan keluarganya.

Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, masyarakat tidak akan mempercayai kenyataan presiden MIC itu dan jika benar-benar ikhlas, beliau harus memanggil BPR untuk menjalankan siasatan.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kerjaraya dan Presiden MIC jika dihadapkan ke mahkamah dan dapat dibuktikan beliau melakukan kesalahan rasuah.

Ketika bercakap kepada pemberita di Perhimpunan Agung MIC yang ke-61 di PWTC senakan, Samy Vellu berkata, beliau pernah disiasat BPR selama tiga bulan berkaitan dengan saham Maika tetapi keputusan siasatan menunjukkan beliau tidak melakukan kesalahan.

Shamsul Iskandar berkata, sebelum inipun, Samy Vellu pernah mengumumkan bahawa namanya telah dibersihkan oleh bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan itu tidak berasas kerana Zulkipli pernah didakwa terbabit dengan kesalahan rasuah.

Hilang kepercayaan

‘Saya menasihatkan Samy Vellu supaya mengikut langkah rakan-rakannya seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk meletakkan jawatannya, “ kata Shamsul Iskandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah beberapa kali membuat laporan kepada BPR berhubung dakwaan rasuah membabitkan saham Maika dalam Telekom, terhadap Samy Vellu, tetapi tiada tindakan diambil.

Lim berkata, tidak kira siapa, jika dibuktikan bersalah, mesti meletakkan jawatannya.

“Tidak ada pengecualian, walaupun Perdana Menteri, harus meletak jawatan,” katanya.

Lim berkata, beliau telah hilang kepercayaan bahawa BPR akan mengambil tindakan terhadap Samy Vellu.

“Ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula-mula menjadi perdana menteri, beliau pernah mengatakan akan mengambil tindakan ke atas 18 orang yang terlibat dengan rasuah tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan diambil”, katanya.