KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan menetapkan kenaikan harga makanan berasaskan gandum tidak melebihi 10 peratus daripada peningkatan harga bahan itu sebanyak 15 sen kelmarin, harga roti canai dan capati akan naik 10 sen mulai bulan depan.

Timbalan Presiden I Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Kamarul Zaman Seenimohideen semalam berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos minyak masak, marjerin, gas dan terbaru tepung gandum.

“Sudah dua kali harga tepung naik dalam tempoh empat tahun, tetapi kita masih jual roti canai sekitar 60 hingga 80 sen sekeping,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenaikan harga siling tepung gandum sebanyak 15 sen sekilogram berkuat kuasa Isnin lalu.

Kamarul Zaman mencadangkan kerajaan memberi subsidi untuk mengelakkan pengusaha restoran menaikkan harga makanan berasaskan tepung gandum kerana peniaga membelanjakan kira-kira 70 sen bagi menghasilkan sekeping roti canai dengan untung hanya 10 sen.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan kenaikan harga tepung gandum sebanyak 15 sen kelmarin berkata, sebarang kenaikan harga makanan berasaskan bahan itu mesti dalam lingkungan atau tidak melebihi 10 peratus.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika ada peniaga yang menaikkan harga makanan pada kadar melampau.

Di KOTA KINABALU, tinjauan Berita Harian mendapati harga beberapa makanan berasaskan tepung mula naik dengan roti canai dijual antara RM1.10 dan RM1.20 sekeping berbanding RM1 sebelum ini.

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga makanan berasaskan tepung gandum.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walat, berkata pihaknya memang menjangka peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga makanan, seperti yang berlaku sebelum ini termasuk ketika kenaikan harga diesel dan petrol.

Di GEORGETOWN, beberapa peniaga yang ditemui mendakwa kenaikan harga tepung gandum dan bahan lain menyebabkan keuntungan mereka semakin merosot.

Pengusaha kedai roti, Abdul Wahab Abbas, berkata jika harga tepung terus meningkat, beliau terpaksa menaikkan harga roti keluarannya.

“Kita akan meneliti perkembangan ini dan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Peniaga Roti Pulau Pinang bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Di ALOR STAR, Pengerusi Pengusaha Restoran Islam Malaysia, Sihabutheen Kirudu Mohamas, berkata setakat ini lebih 150 ahlinya masih mengekalkan harga roti canai 60 sen sekeping.

“Bagaimanapun, dengan kenaikan harga tepung sebanyak 15 sen sekilogram kita sukar bertahan lagi dan akan bermesyuarat bulan depan untuk menentukan tindakan lanjut,” katanya.

Di SEREMBAN, seorang peniaga di Senawang, Salbiah Yassin, 39, berkata harga roti canai dan kuih muih yang dijual masih kekal tetapi saiznya lebih kecil berbanding sebelum ini supaya dapat menyerap kenaikan kos itu.

Di KUCHING, seorang peniaga kedai makan di Jalan Main Bazaar, Rahim Abdullah 45, berkata kebanyakan peniaga masih menunggu perkembangan selanjutnya sebelum menaikkan harga roti canai dan capati.

“Kami bercadang untuk menyemak harga makanan berasas tepung pada bulan depan kerana enggan kehilangan pelanggan yang sudah biasa dengan harga lama,” katanya.

Di MELAKA, penjual kuih muih, Rusminah Ali, 41, mengakui kenaikan harga tepung sedikit sebanyak menjejaskan pendapatannya kerana terpaksa berbelanja lebih bagi membeli bahan mentah berkenaan