Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan PAS yang memerintah negeri Kelantan sejak 17 tahun lalu, mungkin jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang kerana proses pilihanraya yang korup, tidak telus dan tidak adil.

Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, amalan ini tidak pernah berlaku semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, sebaliknya bermula dalam pilihanraya umum 2004.

“PAS Kelantan sangat khuatir dengan proses pilihanraya bermula dengan senarai pemilih sehingga kepada pengundi yang datang mengundi dua kali.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku dalam proses pilihanraya umum akan datang. Mana senarai pemilih terbaru? Berapa ramai pemilih baru dan siapa mereka?

“Senarai daftar pemilih hanya dikeluarkan pada hari penaman calon. Kami mendapat senarai yang berbeza daripada senarai asal walaupun kedua-duanya dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seperti yang berlaku (dalam pilihanraya kecil) di Ijok dan untuk membantah masa sudah suntuk.

“Menurut Akta Pilihanraya, SPR tidak boleh menukar senarai pemilih tetapi suruhanjaya itu menghantar notis memberitahu rakyat sama ada mereka masih tinggal di alamat sama,” katanya dalam temubual dengan malaysiakini di ibu negara, Isnin lalu.

‘Tidak dapat mengundi’

Husam berkata, jumlah pengundi yang ada di satu-satu kawasan adalah sama tetapi beliau mendakwa, SPR boleh membuang senarai penyokong PAS dari daftar pemilih seperti yang berlaku di Selangor.

Katanya, kira-kira 128,000 pengundi tidak boleh mengundi di Selangor dalam pilihanraya umum lalu walaupun telah mengundi pada 1999.

Beliau memberi contoh apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999 di mana Barisan Alternatif (BA) mendapat 180,000 undi dan dapat membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, dalam pilihanraya umum 2004, PAS mendapat 171,000 iaitu berkurangan 9,000 undi tetapi kerajaan bertukar tangan kepada BN.

“Elemen mengundi dua kali sangat kuat, sebahagian daripada isu pengundi luar mendaftar di Terengganu selepas BN kalah dalam pilihanraya umum 1999,” katanya.

Beliau berkata, peratus keluar mengundi di Terengganu dalam pilihanraya umum lalu ialah hampir 90 peratus, meningkat 25 peratus berbanding 74 peratus pada 1999.

P’raya kecil Ijok

“Jumlah pengundi baru di negeri itu pada pilihanraya umum 1999 ialah 73,000 orang, (dan telah) meningkat kepada 181,000 pada 2004,” katanya.

Husam berkata, senarai akhir daftar pemilih yang digunakan oleh SPR dalam pilihanraya kecil Ijok pada 28 April lalu adalah berbeza – antara yang dipamerkan dengan senarai yang diberikan kepada pegawai pilihanraya.

Dalam pilihanraya DUN Ijok, calon BN, K Parthiban mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

“Kami hanya minta SPR buat dua perkara iaitu menggunakan dakwat yang dicelup pada ibu jari atau ‘gadget’ baru yang boleh mengimbas ibu jari.

“PAS boleh menghadapi BN tetapi jika dengan dua perkara tersebut – manipulasi senarai pemilih dan pengundian bertindih – kami akan tempang,” katanya.

Husam berkata, perkara itu tidak berlaku semasa pemerintahan Dr Mahathir dan “trend ini bermula dalam pilihanraya umum 2004”.

Bagaimanapun, katanya, PAS masih perlu mengambil bahagian dalam pilihanraya, terutama dalam konteks di Kelantan dan masih optimis boleh menang jika proses pilihanraya adalah adil dan telus.

“Kami tidak takut berdepan dengan BN Kelantan kerana BN tidak mempunyai kekuatan dan tidak mendapat sokongan rakyat,” katanya merujuk kepada pelancaran Kelantan World oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan baru-baru ini untuk merampas negeri itu dari PAS dalam pilihanraya umum akan datang.