KOTA BHARU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengenai pembabitannya dalam skandal membabitkan Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz.

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata sebarang pembabitan dalam skandal yang menjejas institusi berwibawa itu, adalah penyelewengan dan salah guna kuasa pada peringkat antarabangsa.

“Kita diberitahu beberapa sumber bahawa Anwar ada campur tangan dalam skandal itu, apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Untuk Masa Depan, yang dibiayai Bank Dunia.

“Tahun lalu, yayasan yang diketuainya menulis surat kepada Bank Dunia meminta izin supaya teman wanita Wolfowitz, Shaha Riza, dipindahkan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat ke yayasan itu.

“Kalau betul dakwaan itu, saya rasa Anwar perlu menjelaskan peranan beliau dalam skandal bank terbabit sebab kita tahu Shaha Riza mendapat kenaikan gaji yang luar biasa tingginya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Shaha Riza dilaporkan menikmati pertambahan gaji 36 peratus daripada AS$133,000 (RM458,850) kepada AS$193,590 (RM667,885) berikutan pemindahan dari Jabatan Negara ke yayasan itu.

Khairy berkata, bagaimana Anwar boleh menawar diri sebagai pemimpin alternatif di negara ini, kalau pada peringkat antarabangsa, beliau terbabit dalam skandal besar yang membawa peletakan jawatan Presiden Bank Dunia.

“Wolfowitz yang juga rakan baiknya itu juga arkitek perang terhadap Afghanistan dan Iraq. Kita juga mahu dia jelaskan hal itu, sebab Wolfowitz juga adalah orang kanan George Bush.

“Rakyat Malaysia tidak selesa terhadap orang dalam negara ini, mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang terbabit dalam skandal dan salah guna kuasa serta perang di Asia Barat,” katanya.