Pembangkang menyifatkan kenaikan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menunjukkan kerajaan sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihanraya umum.

Berikutan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pilihanraya umum sudah semakin hampir.

Mursyidur Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, kenaikan gaji kakitangan awam itu akan merancak lagi perbincangan mengenai pilihanraya umum.

“Sepatutnya Abdullah mengumumkan awal-awal lagi dan bukannya ketika orang sedang bercakap mengenai pilihanraya yang semakin hampir,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan bangunan ibu pejabat baru PAS di ibu negara hari ini.

Anwar turut hadir, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan para pemimpin PAS dan PKR.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini. Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.

Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40), dinaikkan 25 peratus, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dinaikkan 15 peratus, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dinaikkan 7.5 peratus.

Menurut laporan Bernama, kerajaan turut memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.

Tambahan RM6.8b

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya, kenaikan gaji itu berjumlah RM3.4 bilion bagi tahun ini, ataupun, perbelanjaan tambahan RM6.8 bilion setahun. Manakala peningkatan kadar COLA melibatkan perbelanjaan tambahan RM600 juta bagi tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.

Sementara itu, ketika menjawab soalan wartawan, Abdul Hadi berkata, PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa.

“Kita sudah membuat bedah siasat mengenai kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu. PAS kalah bukan kerana kemerosotan sokongan rakyat tetapi proses pilihanraya yang tidak telus,” katanya.

Mengenai muktamar PAS, bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, ia tidak akan memecahbelahkan parti kerana pemilihan dibuat dalam suasana harmoni dan tiada politik wang.

Beliau berkata, muktamar parti juga dapat mengeratkan hubungan antara ulama dan profesional dalam menerajui parti itu.

“Ulama tidak menjadi terompah kayu, profesional pula bukan menjadi penumpang,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS akan meneruskan kerjasama dengan PKR sama ada semasa menang atau semasa kalah.

Katanya, kedua-dua parti itu mahu membentuk sebuah kerajaan yang boleh diterima oleh semua kaum di negara ini baik Melayu, Cina dan India.