KOTA BHARU: Jawatankuasa Khas
Malaysia dan Singapura tidak akan menjejaskan hak dan kedaulatan negara ini dalam membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata jawatankuasa itu hanya memudahkan logistik membabitkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara dan Malaysia tidak perlu meminta pandangan atau keizinan republik itu menerusi jawatankuasa berkenaan mengenai pembangunan yang hendak dilaksanakan dalam WPI.

“Perdana Menteri sudah menjelaskan jawatankuasa khas itu adalah untuk membincangkan logistik. Berikutan itu, Pemuda Umno tidak ada sebarang masalah mengenainya.

“Isu lain tidak timbul, jadi tak payah nak
cuba kelirukan rakyat. Kita tidak perlu minta pandangan atau izin Singapura mengenai pembangunan yang hendak dilaksanakan dalam WPI,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, WPI adalah hak
Malaysia dan pihak berkuasa kawasan terbabit dan bukannya Singapura.

“Jawatankuasa itu cuma mempermudahkan pengunjung keluar masuk dari Singapura ke WPI, khusus isu berkaitan logistik. Jawatankuasa itu untuk bincangkan bagaimana kita nak mudahkan trafik dan pelancong masuk,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy mendakwa Kerajaan Pas Kelantan yang menggadai maruah rakyat apabila membenarkan warga asing dari Singapura menguasai khazanah alam negeri itu menerusi tanah di Lojing.

“Ia petanda buruk kepada rakyat negeri ini. Pencemaran alam sekitar yang berlaku memberi kesan buruk kepada rakyat Kelantan sendiri. Ia bukti kerajaan negeri tidak mampu menguruskan negeri.

“Di negeri lain, pembalakan dibuat di kaki bukit tetapi di Lojing, pembalakan di puncak gunung. Dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya beri konsesi balak kepada syarikat tempatan atau agensi kerajaan tetapi Pas beri kepada syarikat yang dikuasai rakyat Singapura,” katanya.

Khairy berkata, pergolakan dalam Kerajaan Pas Kelantan pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini tidak lagi mampu disembunyikan daripada umum.

Katanya, Kerajaan Pas Kelantan kini jelas dikuasai Exco, Datuk Husam Musa, yang mengetepikan pemimpin lain termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Pas mengalami pergolakan dalaman ekoran pertembungan antara pemimpin muda dengan tua dalam parti itu. Di Kelantan, Husam jelas menguasai kepemimpinan kerajaan negeri.

“Dalam isu Lojing misalnya walaupun ada Exco Alam Sekitar (Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman) namun beliau diketepikan Husam yang menjawab pelbagai isu berkaitan alam sekitar yang berbangkit.

“Menteri Besar yang membisu sepanjang masa, Timbalannya pula sekadar bercakap separuh jalan. Namun, pergolakan yang
cuba disembunyikan Pas kian disedari umum,” katanya.