KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan program pemberian jarum suntikan dan kondom percuma serta penggunaan metadon kepada penagih dadah di seluruh negara bagi mengurangkan kes jangkitan HIV/Aids.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Aids/STD), Jabatan Kesihatan Awam, Dr Jalal Halil Khalil, berkata analisis projek perintis yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan perkembangan positif.

“Kita akan meneruskan usaha mencegah amalan berkongsi jarum suntikan seterusnya mengurangkan penularan jangkitan HIV/Aids terhadap penagih dadah,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga akan menambah bilangan klinik kesihatan kerajaan dan swasta yang menyediakan program terapi dadah gantian menggunakan metadon.

Beliau berkata, program metadon didapati berkesan membantu penagih dadah terutama mereka yang memiliki pekerjaan tetap merawat ketagihan.

“Kita harap akhirnya mereka berubah dan dapat mengurangkan penggunaan dadah jenis heroin atau morfin, aktiviti jenayah, kematian akibat pengambilan dadah berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hari Memperingati Aids Sedunia di sini semalam. Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Aids Malaysia, Datuk A Vaithilingam.

Sempena majlis itu, 21 burung merpati dilepaskan, melambangkan genap 21 tahun sejak kes pertama HIV dikesan di negara ini.

Selain itu, Dr Jalal berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan gerakan kempen kesedaran bahaya HIV/Aids dengan kerjasama 15 kementerian lain termasuk Pelajaran, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Katanya, setiap kementerian itu juga mempunyai seorang pegawai khas yang bertanggungjawab melaksanakan kempen berkenaan kepada kumpulan sasar masing-masing.

“Pegawai ini juga akan berurusan terus dengan Kementerian Kesihatan dalam mendapatkan pelbagai input program pencegahan HIV/Aids,” katanya.