KOTA BHARU: Kira-kira 49 peratus daripada guru sekolah menengah di daerah ini mengalami kemurungan, 61 peratus sentiasa dalam kebimbangan dan 34 peratus berada dalam tertekan akibat tekanan pekerjaan.

Tekanan itu juga menyebabkan guru terbabit melepaskan masalah yang ditanggung kepada pelajar mereka.

Fakta itu didedahkan pelajar terbaik program Sarjana Perubatan Masyarakat, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azlihanis Abdul Hadi, 33.

Beliau berkata, kajian berkenaan membabitkan 580 guru dari 21 sekolah menengah daerah ini dengan 60 peratus daripadanya guru wanita.

Katanya, hasil kajian itu amat mengejutkan dan yang menjadi mangsa ialah pelajar kerana guru berkenaan akan melepaskan masalah berkenaan kepada anak murid mereka.

“Penyumbang utama ialah guru berkenaan tidak mampu menentukan sendiri bentuk tugasan selain tidak berupaya memenuhi tuntutan pekerjaan secara psikologi akibat beban tugas yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Sarjana Perubatan oleh Persatuan Alumni Doktor USM (Padu) di sini, malam kelmarin.

Selain beliau, turut menerima anugerah ialah pelajar terbaik bidang Oftalmologi, Dr Wan Norliza Wan Muda; Mikrobiologi, Dr Wan Nor Azilah @ Wan Nor Amilah Wan Abdul Wahab dan Perubatan Kecemasan, Dr Chew Keng Sheng.

Hadir sama Penaung Padu, Datuk Prof Dr Mohd Roslani Abdul Majid dan Presiden Padu, Dr Wan Hazabah Wan Hitam.

Dr Azihaniz berkata, minatnya membuat kajian itu berdasarkan hasil kajian lalu yang mendapati guru sekolah menengah di luar negara lebih cenderung membunuh diri, berhenti kerja atau bertukar kerja.

Katanya, matlamat kajian adalah untuk mengetahui peratusan guru sekolah menengah di sini yang berhadapan dengan masalah kemurungan, kebimbangan dan tekanan selain faktor penyumbang kepadanya.

“Hasil kajian itu cukup mengejutkan kerana keadaan guru yang dibebani dengan beban kerja amat tinggi mengakibatkan mereka berada dalam situasi demikian,” katanya.