KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau terbabit dalam skandal berkaitan Shaha Ali Reza, teman wanita Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz.

Anwar yang juga Pengerusi Yayasan Masa Depan, berkata keputusan pelantikan Reza itu dibuat Jawatankuasa Eksekutif yayasan itu pada pertengahan 2006 bagi menyeragamkan pelantikan beliau dari Bank Dunia.

“Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke yayasan. Beliau ditugaskan ke Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk yayasan pada akhir 2005, sebelum saya menjadi pengerusi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Yayasan Masa Depan adalah sebuah badan bebas membabitkan kerajaan dan masyarakat bagi menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membangunkan demokrasi serta kebebasan di Asia Barat dan Afrika Utara.

Pada Oktober lalu, Anwar dikatakan menulis surat kepada Robin Cleveland, penasihat Wolfowitz di Bank Dunia, meminta Shaha Ali Reza ditukarkan dari Jabatan Negara Amerika ke yayasan itu, sekali gus menyempurnakan ‘perjanjian’ yang disusuli peletakan jawatan Wolfowitz.

Shaha Ali Reza ditukarkan ke Jabatan Negara dari Bank Dunia, ketika bertugas sebagai Pegawai Komunikasi bank berkenaan pada 2005. Alasan pertukarannya sebagai membantu Biro Hal Ehwal Timur Dekat mengenai isu demokrasi Asia Barat.

Ketika di sana, Reza membantu mewujudkan asas penubuhan yayasan itu yang diumumkan Setiausaha Negara, Condoleezza Rice dan barisan Menteri Asia Barat dan Eropah di Forum Bagi Masa Depan di Bahrain pada Disember 2005.

Amerika berikrar memberi sumbangan AS$35 juta (RM120.7 juta) dan komitmen pembiayaan lain dari Bahrain, Jordan, Turki, Qatar, Suruhanjaya Eropah (EC) dan lapan negara Eropah lain.

Namun, satu setengah tahun kemudian, terbukti tidak banyak dilakukan yayasan berkenaan dengan laman webnya sekadar menyatakan ia ‘masih dalam proses mewujudkan pejabat di Beirut.’

Mengenai yayasan yang dibiayai Bank Dunia itu, Anwar berkata, ia itu tidak pernah menerima dana daripada Amerika Syarikat sejak ditubuhkan pada November 2005.

“Sejumlah AS$56 juta (RM190 juta) peruntukan awal dijanjikan kepada yayasan yang penubuhannya diumumkan di Bahrain dua tahun lalu. Setakat ini, yayasan hanya menerima dana antara lain dari Turki, Britain dan Jordan,” katanya.