KOTA BARU:  Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa meminta anggota parti itu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang beliau jangka diadakan sebelum sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan 31 Ogos ini.

“Pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam itu adalah isyarat Perdana Menteri bahawa pilihan raya sudah hampir dekat dan kita perlu mengambil peluang menggembleng tenaga dan kekuatan bagi mengatur agenda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai kenaikan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa Julai ini seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Husam, yang juga anggota exco kerajaan Kelantan, berkata beliau yakin pilihan raya akan diadakan “sebulan dua” selepas muktamar agung PAS dari 1 hingga 3 Jun ini.

“Julai adalah bulan pertama semua kakitangan menerima gaji pertama dan saya jangka pilihan raya mungkin diadakan pertengahan Ogos atau sebelum sambutan kemerdekaan ke-50 tahun,” katanya.

Mengenai pemilihan jawatan dalam PAS, Husam berkata beliau yakin pertandingan merebut jawatan di peringkat tertinggi parti terutama Timbalan Presiden tidak akan berlaku kerana kepimpinan PAS mengambil kira keutuhan dan kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Terdapat laporan media sebelum ini bahawa Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, dijangka menentang Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, bagi jawatan itu dalam muktamar agung parti itu.

Tiga jawatan naib presiden dan Ketua Dewan Pemuda PAS juga dijangka menyaksikan pertandingan sengit.

Bagaimanapun, Husam berkata, perkara itu hanya spekulasi kerana beliau tidak mendapat laporan rasmi mengenai adanya pertandingan merebut jawatan itu walaupun mungkin terdapat pencalonan dibuat.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa PAS akan dapat mempertahankan Kelantan dan menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan, PAS mempunyai 23 kerusi dan Barisan Nasional 22.