KANGAR:  Sejak dibina 10 tahun lepas, bangunan Kompleks Konkos di Kuala Perlis kini tinggal terbiar tanpa perhatian dan tidak ada tanda yang menunjukkan kawasan terbabit akan dibangunkan semula.

Kompleks terbabit yang dibina melibatkan kos RM2 juta itu kini menjadi tapak longgokan sampah dan tempat “melepaskan hajat” bagi mereka yang tidak bertanggungjawab.

Lebih parah, suasana di kompleks itu amat menjijikkan dan dipenuhi bau hancing serta bau busuk yang dapat dihidu pada setiap pelosok kawasan bangunan tersebut.

Sejak 1997, 2000 sehingga 2001, beberapa laporan berhubung rintihan penduduk setempat mengenai keadaan Konkos yang mencacatkan pemandangan Kuala Perlis disiarkan di dada akhbar.

Bagaimanapun, segala laporan itu tidak mendapat perhatian sebaliknya keadaan Konkos semakin “parah” sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Penguatkuasaan dan Kepenggunaan Perlis Bakar Saad berkata bangunan terbabit tidak sepatutnya berada dalam keadaan begitu memandangkan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membinanya agak tinggi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis melahirkan rasa kecewa apabila projek pembangunan yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini terutama di kawasan Kuala Perlis yang menjadi tumpuan ramai pada setiap masa, terbiar tanpa diusahakan.

Sebelum ini, pihaknya pernah mengemukakan cadangan berhubung pembangunan semula Konkos kepada kerajaan negeri tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan diperoleh, katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di kompleks itu dekat sini hari ini.

Bakar berkata Konkos itu perlu dibangunkan semula dan sesuai dijadikan pusat kegiatan ekonomi penduduk setempat kerana kedudukannya yang strategik bagi mereka yang tinggal di kawasan ini untuk menjual produk kraftangan atau makanan tradisionalnya.

Lokasinya berhampiran dengan jeti Kuala Perlis yang menjadi tempat transit kepada pelancong dari Pulau Langkawi atau sebaliknya.

Beliau turut menggalakkan mana-mana pihak swasta yang berminat supaya tampil untuk membangunkan semula kompleks terbabit yang mempunyai reka bentuk menarik.

Advertisements