Perdana Menteri hari ini meminta kerjasama semua anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat supaya dapat menegur mereka yang merokok di bangunan Parlimen yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata larangan itu sejajar dengan Peraturan 11 (1) (h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang jelas menyatakan bahawa tiada seorangpun boleh merokok di dalam mana-mana premis kerajaan.

“Sekiranya Yang Berhormat mendapati masih terdapat orang yang merokok di dalam bangunan Parlimen, itu adalah perokok-perokok yang tidak mematuhi peraturan.

“Kerjasama Yang Berhormat adalah dipohon agar dapat menegur perokok-perokok tegar sebegini supaya mereka menghormati peraturan yang ada,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Wan Ubaidah Omar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Wan Ubaidah meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan akan menjadikan Parlimen sebagai tempat larangan merokok supaya menjadi contoh kepada rakyat di seluruh negara.