Kerajaan hari ini menafikan adanya halangan dalam pelaksanaan Koridor Timur, sebaliknya menjelaskan bahawa ia masih lagi di peringkat awal perancangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Suliman berkata Petronas, selaku agensi peneraju kini sedang merangka satu pelan induk yang menyeluruh bagi pembangunan Koridor Timur, yang dijangka siap bulan depan.

“Pelan induk ini disediakan berdasarkan kekuatan ekonomi sedia ada serta sektor yang berpotensi untuk dimajukan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rashid Ngah pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Abdul Rashid mahu tahu apakah halangan-halangan yang timbul hingga menyebabkan tergendalanya pelaksanaan Koridor Timur.

Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata Petronas telah mengadakan perbincangan dengan semua agensi termasuk menteri-menteri besar di bawah Koridor Timur iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor, memandangkan pelan induk yang dirancang itu akan melibatkan empat buah negeri berkenaan.

“Bagi mengelak timbulnya masalah dalam pelaksanaan Koridor Timur ini kelak maka seharusnya perancangan yang lebih teliti dijalankan supaya setiap negeri mendapat manfaat,” katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin, Abdul Rahman berkata kerajaan tidak pernah mengamalkan pilih kasih dalam konsep pembangunan koridor yang membabitkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Koridor Utara, Koridor Timur.

“Jika dibandingkan pembangunan WPI lebih menjurus kepada konsep Lembaga Pembangunan Wilayah (RDA), dan itu satu kawasan sebab hanya bagi Johor Selatan. Tetapi bagi Koridor Utara membabitkan Perlis, Kedah, Seberang Prai dan Perak Utara, manakala Koridor Timur melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor,” katanya.

Pelaksanaan pembangunan Koridor Utara dan Koridor Timur melangkaui sempadan sebuah negeri, maka kerajaan perlu mempertimbangkan semua konsep dan falsafah setiap negeri dalam menentukan konsep pembangunan koridor yang berlainan menyebabkan timbulnya tidak kesamaan pelaksanaan antara koridor, katanya.

“Sebenarnya tidak ada pilih kasih bahkan kita berhati-hati dalam pelaksanaan ini supaya pastikan bahawa pelaksanaan esok jangan sebagai satu impian tetapi kita nak sebagai satu kenyataan,” katanya.

Samsiah sebelum itu meminta pendapat kementerian mengenai pendapat sesetengah pihak bahawa kerajaan mengamalkan pilih kasih dalam pelaksanaan koridor berikutan berlakunya tidak kesamaan pelaksanaan antara koridor berkenaan.