KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (LPWI) merupakan satu-satunya badan yang boleh membuat keputusan mengenai semua isu berhubung pelaburan domestik dan asing yang mengalir masuk ke wilayah itu, kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, hari ini.

“Sama ada pelaburan tempatan atau pelaburan langsung asing dari semua sumber termasuk Singapura, LPWIlah yang mempunyai bidang kuasa mengenai isu-isu berhubung pelaburan,” katanya.

Dalam penjelasannya bagi meredakan kebimbangan dan beberapa kekeliruan bahawa jawatankuasa peringkat menteri Malaysia-Singapura mengenai penyertaan Singapura dalam WPI boleh menyebabkan tumpuan berlebihan diberikan kepada Singapura, beliau berkata jawatankuasa itu “tidak berperanan sebagai badan perundingan mahupun mempunyai kuasa membuat keputusan.”

Sebaliknya, jawatankuasa itu akan mengoptimumkan sinergi pertumbuhan dan pelaburan di wilayah itu, katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas tentang kebimbangan itu.

Ia akan mempermudahkan kerjasana ekonomi antara kedua-dua negara dalam pembangunan WPI, katanya.

Walaupun tercetus kebimbangan, namun banyak pihak menyambut baik pembentukan jawatankuasa sedemikian, kerana ia merupakan petanda baik bagi peningkatan hubungan komersial antara Malaysia dan republik itu.

Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan selepas perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, di Langkawi awal minggu ini.

Meskipun tidak formal, rundingan dalam suasana mesra itu berhasil dan berjaya, sekali gus mewujudkan wadah bagi membawa hubungan dua hala, khususya dalam kerjasama dan pembangunan ekonomi, ke tahap yang jauh lebih tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut tentang sinergi Johor dan Singapura serta potensi untuk saling melengkapi, Ghani berkata: “Disebabkan oleh lokasinya, kawasan yang merangkumi WPI dan Singapura merupakan sebuah wilayah pertumbuhan dan pelaburan.

“Kita (LPWI) kita tidak akan melepaskan bidang kuasa ke atas wilayah ini.”

LPWI adalah badan berkanun yang bertanggungjawab bagi menyelia pembangunan WPI yang merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi dan meliputi lima pihak berkuasa tempatan – Johor Baharu, Johor Baharu Tengah, Kulai, Pasir Gudang dan Pontian.

Dengan penduduk berjumlah 1.4 juta, WPI adalah tiga kali saiz Singapura dan 48 kali saiz Putrajaya.

Objektif LPWI adalah untuk memajukan WPI sebagai sebuah metropolis lestari yang kukuh dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga akan mewujudkan dasar negara, hala tuju dan strategi bagi WPI, manakala kajian menunjukkan bahawa selatan Johor dan penduduknya akan meraih manfaat besar daripada inisiatif WPI.