Pendaki solo Kelantan, Asyran Raoef Amran, 29 (gambar), berjaya menawan tiga puncak di pergunungan Everest dalam tempoh 15 hari ekspedisi pendakian yang berakhir kelmarin.
Asyran Raoef dapat menawan Everest Camp I setinggi 6,050 meter; Kalapattar 5,545m dan Island Peak 6,160m menerusi pendakian solo dari sebelah
Nepal bermula 6 Mei lalu.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan negeri, Ab Aziz Yunus, berkata Asyran Raoef kini dalam perjalanan turun dari Island Peak yang ditawannya pada pagi Sabtu lalu.

“Beliau mula mendaki sejak pagi 6 Mei lalu dan mengambil masa sembilan hari untuk sampai di Everest

Camp
sebelum menuju puncak lain dalam ekspedisinya yang berakhir kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak dapat menyalurkan maklumat terperinci mengenai kejayaan ekspedisi itu kerana hanya dapat berhubung dengannya menerusi e-mel.

Kos sebahagian besar ekspedisi Asyran Raoef yang juga seorang kerani bank di bandar ini berjumlah RM175,000 itu, sebahagian besarnya ditaja Kerajaan Kelantan.

Selain kerajaan negeri, ekspedisi solo itu juga ditaja Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Golden Empire Production (GE) yang turut bertindak selaku urusetia penjelajahan terbabit.