SINGAPURA, 22 Mei (Bernama) — Singapura memberikan respons kepada kebimbangan yang disuarakan rakyat Malaysia berhubung penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri (JMC), dengan Kementerian Luar berkata ia tidak nampak bagaimana penubuhan JMC adalah “konsesi” kepada republik itu.

“JMC tidak akan terlibat dalam menguruskan WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar),” kata jurucakap dalam satu kenyataan sebagai respons kepada kebimbangan pihak tertentu di Malaysia dengan penubuhan jawatankuasa itu.

Jurucakap itu berkata pegawai Malaysia sendiri sudah memberikan penjelasan mengenai peranan JMC — bahawa ia bukannya “jawatankuasa perunding” dan penubuhannya tidak akan menjejaskan kedaulatan Malaysia dalam apa cara sekalipun.

“Bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang salah faham, Singapura akan membiarkan Malaysia menerajui dalam JMC. Kita akan teruskannya jika hanya pihak berkuasa Malaysia dan Johor mahu kita berbuat demikian,” kata jurucakap itu.

Penubuhan JMC dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong pada perjumpaan tidak rasmi mereka di Langkawi minggu lepas.

Jawatankuasa itu bagi menerokai kerjasama di WPI dan menggariskan cara yang Singapura boleh membantu bagi kejayaannya.

WPI seluas 2,217km persegi — kira-kira tiga kali saiz Singapura — merupakan kawasan yang dibangunkan bagi pertumbuhan pelbagai sektor di selatan Johor, bersempadan dengan republik itu.

Kementerian itu juga menolak cadangan dalam media Malaysia supaya JMC digunakan untuk membincangkan isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara.

“JMC ialah forum yang mempunyai tujuan spesifik, iaitu, sebagai pemudah cara bagi kerjasama Singapura-Malaysia dalam WPI. Bagi isu-isu dua hala tertangguh, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk membincangkannya kemudian dan tidak akan membiarkannya menjejaskan kerjasama dua hala di WPI,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Singapura bersetuju dengan pandangan Abdullah di Langkawi apabila beliau berkata “kita uruskan isu tertangguh kemudian… kita tidak mahu terhalang ketika cuba menyelesaikan isu itu sedangkan ada perkara lain yang kita mahu lakukan”.

Jurucakap itu juga mengulangi kenyataan Lee di Langkawi bahawa isu-isu dua hala yang tertangguh bukan mudah untuk diselesaikan.

“Cara terbaik ialah menguruskannya secara berasingan melalui cara yang boleh diterima sepenuhnya oleh kedua-dua pihak, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan hubungan dua hala secara menyeluruh,” menurutnya.

Katanya Abdullah mempelawa Singapura untuk menyokong dan melabur dalam projek WPI dan Singapura telah mengkaji kertas projek yang diberikan.

“Kita memutuskan untuk berbuat demikian walaupun WPI akan bermakna lebih tekanan kompetitif ke atas Singapura, juga terdapat aspek tambahan yang akan bermanfaat kepada Singapura.

“Manfaat bersama ini merupakan satu-satunya asas bagi kerjasama jangka panjang yang baik kerana setiap projek bermakna kerjasama dan persaingan,” menurutnya.

Kenyataan itu bagaimanapun menegaskan bahawa sebaik sahaja persetujuan dicapai, kedua-dua pihak perlu patuh kepada apa yang dipersetujui.

“Termanya tidak boleh diubah kemudiannya atas apa juga alasan,” menurut kenyataan itu.