KOTA BHARU 23 Mei – Kerajaan Pas Kelantan yang akan turut menaikkan gaji kakitangannya selaras dengan kenaikan gaji kakitangan awam, meminta kerajaan Pusat membantu meringankan beban kewangannya.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan lebih RM24 juta setahun bagi tujuan itu.

Beliau berkata, kira-kira 5,000 kakitangan negeri akan menerima tambahan ganjaran yang sama seperti dinikmati oleh kakitangan awam di peringkat Persekutuan.

“Kita terima kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa gaji akan dinaikkan dan kerajaan Kelantan terpaksa tanggung penambahan perbelanjaan sebanyak lebih RM2 juta sebulan.

“Jadi kita berharap kerajaan Pusat boleh menimbangkan penambahan peruntukan supaya dapat menampung sedikit kekurangan ini.

“Kerajaan akan lakukan apa saja tambahan asalkan dapat menampung kenaikan gaji ini, boleh jadi bukan Kelantan sahaja (yang merasai beban tersebut) negeri lain pun akan rasa tekanan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.752 juta sebulan untuk membayar gaji kakitangan awam, bagaimanapun ia akan meningkat kepada RM9.978 juta selepas kenaikan terbabit.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus dan 35 peratus bagi kakitangan awam, manakala sembilan peratus sehingga 42 peratus kepada anggota polis dan tentera berkuat kuasa Julai ini.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau turut berharap kerajaan Pusat akan mengatasi masalah kenaikan harga barang yang semakin berleluasa melalui langkah yang konkrit.

Katanya, ia bagi memastikan kenaikan gaji itu lebih dirasai oleh kakitangan dan rakyat umumnya.

“Cuma kegelisahan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan saya nampak tak ada satu program yang dibuat secara berkesan oleh kerajaan Pusat.