KOTA BHARU: Beberapa projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Kelantan, mungkin dipindahkan ke negeri lain berikutan sikap dolak-dalih kerajaan Pas Kelantan dalam memberi kelulusan tanah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata Kerajaan Pusat sedang menimbang memindahkan projek itu ke negeri lain bagi mengelakkan perancangan tergendala.

“Sekarang ini, sudah ada tanda-tanda beberapa projek RMK-9 akan tertangguh di negeri ini kerana kurang kerjasama kerajaan negeri dan sikap itu dikhuatiri menyebabkan projek berkenaan dipindahkan ke negeri lain.

“Kita mendengar ura-ura Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Matrikulasi yang sepatutnya didirikan di Kelantan mungkin dipindahkan ke negeri lain kerana masalah tapak yang tidak dapat diselesaikan.

“Sehubungan itu, saya sangat berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama dan tidak mempolitikkan projek yang akan dilaksanakan Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memberitahu demikian selepas menyampaikan sumbangan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM47,600 kepada 238 ibu bapa pelajar miskin Sekolah Kebangsaan Ketereh, di sini, semalam.

Annuar berkata, kerajaan negeri perlu menghormati kehendak pelabur luar dan Kerajaan Pusat yang merancang pembangunan serta pembinaan projek di kawasan tertentu berdasarkan keperluan.

Katanya, kerajaan negeri tidak seharusnya mengutamakan perancangan sendiri semata-mata, tanpa mengambil kira keperluan pelabur kerana keadaan itu mungkin menimbulkan rasa kurang yakin pihak yang melabur.

“Kerajaan negeri tidak sepatutnya mengutamakan perancangan mereka saja tanpa mengambil kira kepentingan pelabur dan Kerajaan Pusat yang membawa masuk sesuatu projek seperti yang mereka lakukan ketika ini terhadap projek pendaratan minyak dari Yan, Kedah.

“Orang lain punya projek, mereka pula yang nak tetapkan itu ini. Kalau macam tu, tak berjalanlah segala perancangan yang dilakukan. Kalau masing-masing nak tunjuk pandai, semua projek akan tergendala,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar meminta pemimpin Pas Kelantan tidak mempolitikkan isu kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Isnin lalu.

“Pemimpin Pas Kelantan janganlah mempertikaikan kenaikan gaji kakitangan awam, kononnya ia dilakukan sebagai helah Kerajaan Pusat menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Mereka sepatutnya gembira dan syukur kerana nikmat kenaikan itu turut dirasai kakitangan awam di Kelantan. Kalau mereka kata ini helah politik, kenapa mereka tak naikkan gaji kakitangan kerajaan negeri lebih awal,” katanya.