KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menimbang jika ada cadangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membolehkan rakyat negara ini didaftarkan secara automatik sebagai pemilih apabila mencapai umur 21 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata setakat ini, SPR belum mengemukakan cadangan pendaftaran secara automatik itu dan sekiranya ada, ia masih perlu diperinci.

“Kita perlu mengambil kira banyak perkara kerana membabitkan dasar. Jika perlu, SPR harus kemukakan cadangan dan kita bincang secara terperinci.

“Jika ia dilaksanakan, kita perlu pastikan pendaftar menyemak status pendaftaran mereka dan alamat tempat membuang undi. Ini mungkin menjadi masalah (memastikan pengundi mengetahui dan menyukai kawasan pilihan raya masing-masing),” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar semalam melaporkan 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dilaporkan berkata, daripada jumlah itu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat bilangan tertinggi iaitu hampir sejuta.

Setakat ini, hanya 300,000 daripada 4.9 juta rakyat negara ini yang belum mendaftar sebagai pemilih berbuat demikian selepas pelancaran Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih peringkat pusat, 16 April lalu.

Katanya, cadangan pendaftaran selepas mencapai umur 21 tahun itu memerlukan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta sistem komputer bersesuaian.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, orang ramai harus menyedari kepentingan mendaftar sebagai pemilih untuk memastikan sebarang proses pendaftaran yang dilaksanakan mencapai matlamat.

“Cara dan kempen yang dijalankan SPR sudah memadai,” katanya.