KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) mengarahkan semua projek tebatan banjir di sekitar ibu negara termasuk Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart), dipercepatkan supaya banjir kilat seperti berlaku kelmarin, tidak berulang.

Perdana Menteri juga mahu semua pihak yang terbabit melaksanakan projek mengatasi banjir di ibu negara supaya segera menggembleng sumber dan memberi keutamaan kepada pelaksanaan usaha mengatasi bencana terbabit.

Katanya, projek tebatan banjir seperti lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Smart dan kerja pelebaran Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong mesti disiapkan lebih cepat daripada jadual.

“Pada 3 Jun lalu sudah berlaku banjir, semalam (kelmarin) banjir lagi, jadi semua projek mendalamkan sungai atau bina kolam takungan kena dipercepatkan pembangunannya supaya dapat diselesaikan lebih awal. Itu satu kemestian.

“Banjir kini tiada musim jadi kita kena gerakkan semua sumber yang ada dan ini perlu diberi keutamaan,” katanya pada majlis Taklimat Mengenai Persediaan dan Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Apabila Menghadapi Banjir di sini, semalam.

Perdana Menteri diberi taklimat oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ahmad Fuad Embi.

Hadir sama ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan.

Hujan lebat hampir empat jam sejak kira-kira jam empat petang kelmarin menyebabkan hampir keseluruhan pusat bandaraya lumpuh kerana beberapa laluan utama dan kawasan sekitarnya ditenggelami air sedalam antara 1.8 meter hingga tiga meter.

Antara kawasan paling teruk terjejas termasuk Kampung Baru, Sentul, Jinjang Selatan dan Segambut. Turut dinaiki air ialah berhampiran Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Perak, Jalan Pinang, Jalan Tun Razak, Jalan P Ramlee serta Jalan Kolam Air, di Setapak.

Abdullah berkata, banjir yang berlaku kelmarin bukan saja lebih teruk berbanding 3 Jun lalu, malah kawasan yang dinaiki air lebih meluas sehingga membabitkan kira-kira 30 lokasi di sekitar ibu negara.

Beliau kesal apabila dimaklumkan bahawa banjir yang berlaku turut berpunca daripada masalah sampah yang dibuang oleh warga kota ke dalam sungai sehingga ia menyekat aliran air.

Sementara itu, Abu Seman dalam taklimatnya berkata, projek tebatan banjir di ibu negara membabitkan terowong Smart dan pembinaan kolam takungan di Batu untuk Sungai Gombak/Sungai Batu; Sri Johor (Sungai Kerayong) dan Jinjang (Sungai Jinjang/Sungai Keroh).

Beliau berkata, semua pihak terbabit terutama JPS sudah diarah berusaha mempercepatkan projek seperti diarahkan Perdana Menteri.

Berdasarkan maklumat terkini, laluan air di projek terowong Smart sepanjang 10 kilometer hanya boleh digunakan awal bulan depan, Batu (akhir tahun ini), Seri Johor (awal tahun depan) dan Jinjang (sepatutnya Mei lalu tetapi dilanjutkan tahun depan).

Abu Seman berkata, banjir kelmarin berpunca daripada hujan lebat yang mencatat bacaan 720 milimeter (mm), berbanding hanya 520 mm pada 3 Jun sehingga Dataran Merdeka dinaiki air, tiga cedera apabila kenderaan mereka terkena pokok tumbang, manakala 89 penduduk Kampung Periuk dipindahkan sementara ke sebuah sekolah.

“Sebelum ini, pelbagai langkah sudah diambil hingga dapat mengurangkan kawasan banjir di ibu negara daripada 60 pada 2005 kepada hanya enam sekarang tetapi dalam kes banjir terbaru air melebihi paras bahaya,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan sistem amaran awal banjir DBKL yang memberi amaran sejam sebelum jangkaan berlaku banjir kilat, banyak membantu mengurangkan kesan kerosakan dan pihak berkuasa juga meningkatkan persediaan bilik gerakan banjirnya yang mempunyai kekuatan 337 anggota.