KUALA LUMPUR: Kadar tol Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) atau nama barunya Terowong Bestari, ditetapkan pada RM2 sehala, yang mula dikutip mulai Sabtu ini, dengan semakan kenaikan seterusnya dijadualkan selepas tiga tahun.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu (gambar), berkata hanya kenderaan ringan dengan ketinggian kurang daripada 2.1 meter dibenarkan menggunakan laluan itu dan kadar tol yang dikenakan adalah sama bagi kereta dan teksi.

“Bayaran tol ini mungkin lebih mahal berbanding laluan lain yang sama jaraknya kerana pembinaan terowong Bestari sepanjang hampir empat kilometer memerlukan kos tinggi. Saya percaya RM2 ini tidak membebankan rakyat atau syarikat konsesi yang membelanjakan RM633 juta pagi projek ini selain RM1.3 bilion yang dibiaya kerajaan.

“Di mana-mana tempat pun kadar tol bagi terowong selalunya berbeza, malah ada yang jauh lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada sesi perjumpaan dengan pegawai kanan semua agensi di bawah kementeriannya, di sini, semalam.

Terowong sepanjang 9.7 kilometer dengan laluan untuk kenderaan sepanjang 3.3 kilometer itu adalah projek gabungan lebuh raya dan terowong banjir yang pertama seumpamanya di dunia.

Projek itu menelan belanja RM1.9 bilion, termasuk bagi pembinaan terowong antara Jalan Sungai Besi dan Jalan Ampang serta RM650 juta bagi membina laluan kenderaan sepanjang 3.3 kilometer. Ia direka bentuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kerajaan membiayai RM1.3 bilion kos projek itu manakala baki RM633 juta ditanggung Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd, iaitu usaha sama antara Gamuda dan MMC, yang bertindak sebagai syarikat konsesi kutipan tol.

Terowong Bestari menjadi laluan alternatif ke kawasan segi tiga emas di pusat bandar raya yang dihubungkan ke Jalan Sultan Ismail dari laluan Sungai Besi sedia ada, dengan persimpangan keluar masuk di Jalan Davis dan Jalan Tun Razak, berhampiran bulatan Kampung Pandan.