KOTA BHARU: Sejumlah RM638 juta sudah dibelanjakan Kerajaan Pusat bagi membiayai projek yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Kelantan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Shukry Mohd Salleh, berkata bagi 2006 dan 2007, Kelantan menerima peruntukan lebih RM1.8 bilion bagi melaksanakan projek RMK-9.

Beliau berkata, dalam RMK-9, sejumlah 1,516 pelbagai jenis projek pembangunan dirancang oleh Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di negeri ini.

“Ini termasuk 937 projek yang dalam perancangan, 69 projek belum bermula, 219 projek sedang berjalan mengikut jadual, 43 projek lewat daripada jadual dan 139 projek sudah siap sepenuhnya.

“Kami berusaha memastikan semua projek berjalan mengikut jadual. Pada masa sama, JPP menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantau bagi mengawasi setiap projek bagi mengelak sakit dan terbengkalai,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan ketua jabatan agensi Persekutuan yang bersara dan bertukar di sini, malam kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Seri Annuar Musa.

Shukry berkata, beberapa projek terlewat jadual berikutan pelbagai faktor termasuk peralihan utiliti, ketidaktentuan tapak, masalah kontraktor, cuaca serta perubahan reka bentuk.