KOTA BHARU: Datuk Seri Najib Razak meminta pemimpin veteran bersama berjuang dengan pemimpin muda demi memastikan masa depan lebih baik untuk Kelantan.

Timbalan Presiden Umno berkata, pemimpin veteran mempunyai peranan penting dalam perjuangan parti dan Umno tidak pernah beranggapan mereka harus dipinggir atau tidak berguna sama sekali.

“Bila kumpulan veteran dan masa kini disatukan, perjalanan Umno bertambah mudah kerana mereka masih mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Gandingan Gemilang Veteran dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, sempena lawatan kerja sehari ke Kelantan, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat sudah banyak membantu memajukan Kelantan dengan menyalurkan peruntukan, menubuhkan universiti serta projek saluran gas.

“Kita berbuat demikian untuk memastikan umat Islam di Kelantan maju serta berjaya dan boleh berbangga memandangkan itulah Kelantan baru yang BN hendak corakkan.

“Oleh itu, saya merayu pemimpin veteran memberi sokongan dan sumbangan ke arah membina Kelantan baru supaya satu hari nanti, kita boleh ucap ‘Selamat Tinggal Pas’ atau ‘Membina Sebuah Kelantan Baru Di Bawah Pimpinan BN’,” katanya.

Ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pendidik dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Kem 301 di Darul Falah, Jeli, Najib berkata, BN kini berada dalam landasan yang betul dan terbaik untuk merampas semula Kelantan daripada Pas.

Katanya, beliau berpuas hati komitmen ditunjukkan Umno Kelantan yang bekerja keras memastikan kejayaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, di PASIR PUTEH, Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Kelantan perlu menilai pemerintahan kerajaan Pas selama 17 tahun yang ternyata gagal membela umat Islam di negeri itu.

Najib berkata, di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, BN bukan saja mewujudkan kemudahan beribadat, tetapi berjaya mempertahankan akidah Islam itu sendiri.

“Umno sendiri menjadi benteng kepada akidah Islam di tanah air ini. Kita tidak perlu kepada slogan atau sepanduk membangun bersama Islam. Umno parti yang sudah menjadi pejuang, benteng dan pembela agama dan umat Islam.

“Rakyat negeri ini tidak mahu umat Islam ketinggalan kerana bumi Kelantan paling ramai umat Islam di negara ini. Sekiranya hendak membela umat Islam, kita tidak boleh membiarkan Kelantan tersisih dari arus perdana negara,” katanya pada majlis jamuan rakyat, di Kedai Menanti, Selising, dekat sini, semalam. Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 orang dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising.

Pada majlis Gandingan Gemilang Titian Kasih anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan, di Tok Bali selepas itu, Najib menerima borang keahlian daripada 250 bekas ahli Pas.

Mereka terdiri bekas ahli dan aktivis Pas kawasan Kok Lanas diketuai oleh bekas Ahli Jawatankuasa Pas Cawangan Bukit Tinggi, Kok Lanas, Mohamad Mat Ali.