KUALA LUMPUR 14 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan aktif dalam menyokong polisi kerajaan seperti membangunkan agenda bumiputera selain membantu meningkatkan kandungan tempatan dan merintis sektor pertumbuhan baru.

Timbalan Perdana Menteri percaya peranan lebih aktif GLC dalam aspek itu tidak akan menjejaskan prestasi syarikat-syarikat milik kerajaan.

‘‘GLC yang berprestasi tinggi dan menyokong polisi kerajaan bukan tidak menguntungkan. GLC tidak boleh menggunakan objektif pembangunan nasional sebagai satu alasan untuk tidak memperoleh keuntungan,” katanya ketika berucap melancarkan tema Tanggungjawab Sosial (CSR) Korporat Telekom Malaysia (TM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi TM, Tan Sri Ir. Md. Radzi Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Abdul Wahid Omar.

Najib yang turut menyentuh isu tanggungjawab sosial GLC berkata, sumbangan syarikat-syarikat itu kepada masyarakat bukan sahaja membantu membangunkan negara tetapi juga boleh memberi nilai kepada pemegang saham.

‘‘Saya anggap bila sesebuah organisasi GLC terlibat dalam CSR, ia tidak seharusnya dilihat sebagai tidak menyumbang kepada nilai pemegang saham,” jelasnya.

Dalam hal itu, Najib berbangga kerana TM merupakan antara syarikat yang terkehadapan dalam CSR.

Beliau juga memuji pembabitan TM dalam menaja sukan Liga Bola Sepak Malaysia yang mampu meningkatkan imej dan mutu sukan bola sepak negara.

‘‘Saya suka membuat perbandingan antara Ghana dan Malaysia. Kedua- dua negara sama-sama merdeka dan negara kita mengatasi Ghana dalam semua bidang tetapi kalah dari segi sukan bola sepak jika mahu dibandingkan dengan Ghana,” katanya.

Najib juga mengalu-alukan usaha TM memberi biasiswa kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, apa yang ditawarkan oleh TM itu akan membantu pengisian modal insan yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.